//
you're reading...
Akhlak & Adab, Renungan

Dosa Besar Yang Dipandang Kecil

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Insha Allah, dalam tulisan ini saya akan cuba membawakan beberapa kesalahan yang tidak diketahui atau tidak disedari masyarakat bahawa ianya adalah dosa besar.

Meninggalkan solat dengan sengaja

Perbahasan mengenai solat dan hukum meninggalkannya ini sepatutnya boleh dibuat entri khas kerana panjangnya perbincangan mengenainya. Bahkan al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah menulis satu kitab khas berkenaan dengan ini.

Gejala meninggalkan solat ini terbahagi kepada 2; ada kelompok yang meninggalkannya terus. Dan ada juga yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana urusan-urusan yang tertentu, lalu mereka mengatakan, ‘Takpe, nanti aku qadha’ la, bukan aku tinggal terus.’ Ada juga sibuk sangat satu hari, tak tahulah apa yang disibukkannya, mereka ini mengqadha’ solat 5 waktu straight pada waktu malam sebelum tidur. Kelompok yang kedua ini merupakan gejala meninggalkan solat dengan tidak mengerjakannya pada waktunya yang telah ditetapkan.

Solat adalah tiang agama. Seorang Muslim itu tidak boleh meninggalkan solat walau apa keadaan sekali pun dan ia perlulah ditunaikan pada waktunya. NO EXCUSE! Hatta dalam keadaan perang sekali pun, Allah Ta’ala memerintahkan kaum Muslimin supaya menunaikan solat seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 239 yang bermaksud : “Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” Jika waktu perang pun Allah mewajibkan solat maka fikirkanlah, betapa besarnya keharaman mencabuli waktu solat dalam keadaan kita aman sentosa .

Sesungguhnya Allah telah menjanjikan neraka Saqar buat mereka yang tidak menunaikan solat. Firman Allah yang bermaksud : “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (al-Muddassir : 42-43). Cukuplah ayat ini menunjukkan bahawa meninggalkan solat itu adalah suatu dosa besar yang mana Allah menjanjikan neraka bagi golongan ini.

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Di antara seorang lelaki dan kufur itu adalah meninggalkan solat.” (Diriwayatkan oleh Ahmad. Banyak riwayat yang menyebut hal ini oleh Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tirmizi). Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam juga bersabda : “Siapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.” (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan disahihkan oleh al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Zahabi)

Tidak menutup aurat dengan sempurna

Fenomena ini dilihat biasa di kalangan wanita Muslimah tanpa mereka sedari larangan keras mengenai pakaian yang tidak menutup aurat ini (Sila lihat tulisan saya mengenai syarat-syarat pakaian yang menutup aurat menurut al-Quran dan Sunnah : http://ilidalila.wordpress.com/2010/05/05/kewajipan-menutup-aurat/)

Mengapa kita katakan ia adalah dosa besar? Ini berasaskan sebuah hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut : “Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini.” (Diriwayatkan oleh Muslim). Maksud ‘berpakaian tetapi bertelanjang’ itu ialah wanita itu mendedahkan sebahagian daripada tubuh badannya atau wanita itu memakai baju yang nipis yang menampakkan warna badannya (Lihat : al-Nawawi, al-Minhaj, 17/191)

Jika diperhatikan dalam hadis ini, ancaman yang disebut adalah berupa janji tidak dimasukkan ke dalam syurga dan bukan setakat itu sahaja, malah tidak dapat mencium bau syurga. Seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini, antara petanda dosa besar itu adalah apabila disebut dalam ayat al-Quran atau hadis : ‘tidak masuk syurga’ dan ‘tidak dapat mencium bau syurga’. (Sila rujuk artikel ‘Bagaimana Mengenal Dosa Besar’?)

Ada sebuah lagi hadis yang menyebut mengenai wanita ‘berpakaian tetapi bertelanjang’ ini dan disertakan padanya sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘…Laknatilah mereka, sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang terlaknat’ (Diriwayatkan oleh Ahmad. Al-Arna-uth berkata : Isnadnya dhaif)

Isteri menolak ajakan suami

Antara sebab paling kuat Allah mensyariatkan perkahwinan adalah supaya manusia itu boleh manyalurkan nafsu syahwat dengan cara yang halal dan tidak dimurkai oleh Allah serta menjaga kehormatan manusia. Hanya dengan satu akad, satu perhubungan yang disifatkan sebagai satu jalan yang keji oleh Allah berubah menjadi hubungan yang halal dan diberi pahala. Perihal menjaga kehormatan amat dititiberatkan oleh Islam. Allah memerintahkan lelaki dan perempuan menundukkan pandangan kerana dengan pandanganlah tercetusnya syahwat. Begitu juga anjuran berpuasa bagi mereka yang tidak mampu berkahwin lagi. Ditambah pula pergaulan antara lelaki dan perempuan mempunyai batas-batas tertentu yang telah digariskan hanya untuk menjaga kehormatan anak Adam daripada terjebak ke dalam lembah kekejian. Sesudah itu, jalan paling selamat adalah dengan berkahwin. Tetapi, apabila sudah berkahwin dan perhubungan telah halal, maka si isteri menolak pula ajakan suami. Tidak hairanlah jika dia dilaknat oleh penghuni langit.

Saya pasti ada para isteri yang mengambil mudah hal ini sedangkan telah thabit dari hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bahawa seorang isteri itu tidak boleh menolak ajakan suaminya. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Jika seorang suami itu mengajak isterinya ke kamar, tetapi dia tidak mendatanginya, dan tidurlah si suami dalam keadaan marah kepadanya, maka para malaikat melaknatnya hingga pagi.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Memutuskan silatur-rahim

Dahulu saya pernah terbaca hadis yang mengandungi ancaman buat mereka yang memutuskan silatur-rahim. Kemudian saya terfikir bahawa saya sudah lama tidak menghubungi kawan-kawan sekolah dahulu. Saya kata pada diri saya ‘Habislah saya, saya berdosa sebab tak keep in touch dengan kawan-kawan’. Rupa-rupanyanya saya telah tersalah faham maksud silaturrahim. Silatur-rahim terdiri daripada 2 perkataan yang membawa maksud menyambung persaudaraan. Apa makna ar-rahim (الرحم)? Perkataan ini ada disebut dalam al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 1, surah Muhammad ayat 22 dan surah al-Mumtahinah ayat 3. Ulama’ mentafsirkan ia sebagai kaum kerabat / saudara-mara.

Banyak hadis yang menyebut mengenai dosa memutuskan silatur-rahim. Antaranya ialah apa yang disabdakan oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Tiada satu dosa yang lebih patut untuk Allah berikan seksaan kepadanya di dunia dan apa yang disimpan untuk di akhirat kelak melainkan hasad dengki dan memutuskan hubungan persaudaraan.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim). Begitu juga hadis yang berbunyi : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan persaudaraan.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Memutuskan persaudaraan adalah satu dosa besar. Ia perlu sentiasa dipelihara dengan ziarah, bertanya khabar, memberi hadiah dan apa jua wasilah yang mampu mengeratkannya. Jika ada permusuhan dan pergaduhan yang terjadi antara saudara-mara akibat harta, hasad, tidak puas hati dan sebagainya, maka bersegeralah bertaubat dan pulihkanlah keadaan seperti biasa.

Inilah 4 contoh dosa besar yang dipandang kecil oleh kebanyakan kita. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menyenaraikan lebih lagi. Contoh saya beri di sini adalah untuk kita teliti bagaimana kita mengenal dosa besar daripada nas al-Quran dan Sunnah berdasarkan petanda yang telah diletakkan oleh para ulama’. Allahu’alam.

About cahayarasul

ingin beriman dan taqwa

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: