//
you're reading...
Uncategorized

Musafir yang berteduh..

بسم الله الرحمن الرحيم

Abdullah bin Mas’ud seorang sahabat yang juga murid setia Rasulullah s.a.w. sentiasa berada di sisi Rasulullah di mana jua Nabi berada. Abdullah bin Mas’ud meneliti dan mencatit setiap apa jua yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. serta mengambil pengajaran dari setiap perbuatan Rasulullah. Demikianlah caranya Abdullah bin Mas’ud menimba ilmu.
Suatu ketika Abdullah bin Mas’ud melihat Rasulullah sedang berbaring, apabila Nabi bangun dari tempat pembaringannya, Abdullah bin Mas’ud terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang Nabi, ini disebabkab tikar alas tidur Nabi diperbuat dari daun kumra yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa kasihan belas di hati Abdullah bin Mas’ud.

Berkata Ibnu Mas’ud, “Ya Rasulullah sekiranya kamu perintah aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untuk Nabi nescaya aku akan berusaha mendapatkannya.”

Tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

“Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristiriehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.”

Hadith Nabi s.a.w. itu adalah suatu peringatan terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat kelak.
Inilah hakikat yang diajarkan oleh Rasulullah kepada umatnya, tentang kehidupan di dunia ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu ketika hari panas. Bererti singgah sejenak sekadar berteduh untuk menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Setelah badan kembali segar selepas rehat, seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.
Contoh yang diberi oleh Nabi tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami. Meskipun Nabi menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang, tetapi kadangkala manusia menjadi syirik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buah, serta hembusan bayu yang nyaman mengasyikkan.
Walaupun ia disebut singgah hanya sekejap, namun ia bergantung dengan umur manusia, lazimnya antara sekitar 60 tahun, iaitu sekitar usia Rasulullah s.a.w. Jika dibandingkan dengan usia dunia tentulah tidak lama, apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat, yang ukuran sehari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di akhirat, maka kehidupan yang disebut singgah sebentar di dunia itu hanyalah satu detik yang amat singkat.
Masa yang sangat singat itu adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika kesempatan itu tidak diisi sepenuhnya untuk menyediakan bekalan, kerana dilalaikan oleh kenikmatan mata benda yang tidak seberapa, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi.
Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Di dalam al-Quran telah digambarkan,

رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ

“Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (QS As-Sajadah : 12)
Demikianlah sesalan orang-orang yang lalai akan peranan mereka dihidupkan di dunia. Mereka cuba mohon kepada Tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal yang soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para rasul semasa di dunia dahulu.
Ad-dun ya darul amal, dunia tempat melakukan segala amal atau kerja, dan setiap amalan menurut apa yang telah digariskan oleh para rasul ‘alaihimus-solatu wassalam. Dengan adanya para rasul bagi setiap umat, ini bererti manusia telah dibekalkan segala keperluan. Bekalannya ialah akal, ilmu, aqidah, harta dunia, masa dan tubuh badan.
Manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari akhirat. Bekalan akhirat itu bukan sekadar ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Tetapi sebarang urusan yang melibatkan harta dunia seperti bertani, berniaga, menjadi nelayan, usahawan, pengurusan serta pentadbiran dan seumpamanya. Semuanya akan menjadi urusan akhirat jika ia dilakukan mengikut garis yang ditetapkan oleh syariat.
Visi akhirat bagi manusia bukan sekadar menghubungkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat-ibadat yang khusus, tetapi juga mesti melakukan perhubungan sesama manusia, sama ada dalam urusan mu’amalah atau juga dalam urusan kemasyarakatan, kenegaraan dan lain-lain seumpamanya adalah merupakan kepelbagaian dalam menyediakan bekalan akhirat, untuk menempuh suatu perjalanan yang jauh, oleh itu bekalan juga harus berpadanan.
Jika hidup di dunia dalam masa yang singkat ibarat berteduh di bawah pohon, manusia mesti menggunakan segala peluang yang ada. Masa yang begitu singkat mesti digunakan semaksima mungkin bagi membina kepakaran dan kesungguhan dengan menggunakan modal yang ada iaitu ilmu, akal, tenaga, tubuh badan, harta dunia, aqidah dan syariah dan lain-lain bagi menjamin bekalan akhirat dapat dipenuhi.
Meskipun kehidupan di dunia ini diibaratkan singgah sebentar sekadar berteduh di bawah pohon, namun ia  amat bererti bagi seorang musafir yang berjalan jauh ketika hari panas. Mereka pasti mengambil peluang untuk berehat serta makan minum untuk memulihkan tenaga fizikal dan dapat juga melakukan amal ibadah untuk kekuatan dan bekalan rohaniahnya.
Demikian hakikat dunia yang disebut sebagai ad-dunya darul amal, wal-akhiratu darul jaza’ dunia sebagai gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja, sementara akhirat itu adalah negara untuk menerima pembalasan. Jika di dunia yang singkat waktunya ini terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi bahawa penyesalan akan menunggu di akhirat.
Wallahu’alam..

 

Perbuatan yang paling utama adalah memakmurkan waktu dengan hal-hal yang sesuai dengan perintah-Nya

~Asy-Syekh Muhammad Al-Maghribi~

About cahayarasul

ingin beriman dan taqwa

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: